Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan | School of Humanities

UNDERGRADUATE
 
RANCANGAN PENGAJIAN DI PUSAT PENGAJIAN ILMU KEMANUSIAAN
 
Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK) menawarkan program pengajian yang melengkapkan pelajar dengan pemahaman asas tetapi mendalam tentang ciri-ciri utama masyarakat, budaya dan pemikiran. PPIK menawarkan tiga program pengajian iaitu:
  1. Program Pengajian Ilmu Kemanusiaan melalui pengkhususan:
    • Pengajian Bahasa Malaysia
    • Pengajian Bahasa Inggeris
    • Geografi
    • Kesusasteraan
    • Sejarah
  2. Program Pengajian Bahasa Inggeris & Kesusasteraan (English Language & Literature Studies)
  3. Program Pengajian Terjemahan dengan Interpretasi

PPIK juga menawarkan program minor yang meliputi semua pengkhususan seperti di atas serta Pengajian Islam dan Falsafah dan Tamadun.

FALSAFAH PROGRAM

Falsafah Rancangan Ijazah Sarjana Muda Sastera [Kepujian] Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan adalah mendokong dan selaras dengan falsafah Universiti Sains Malaysia iaitu:

Universiti Sains Malaysia sentiasa mengamalkan dan memupuk kecemerlangan dalam pembelajaran, penyelidikan, penerbitan dan perkhidmatan yang peka terhadap kepentingan negara masa kini dan akan datang demi menuju kepada pembangunan menyeluruh individu dan masyarakat yang luhur, berilmu, berketrampilan, berinovasi, berprihatin dan berperikemanusiaan, berakhlak mulia dengan berteraskan kebenaran, Rukun Negara dan moto KAMI MEMIMPIN.

Falsafah ini juga memberi sumbangan kepada pencapaian yang termaktub  dalam Wawasan 2020. Pada umumnya, struktur kurikulum ini akan menggerakkan pelajar-pelajar Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan ke arah sektor yang berkembang serta mengimbanginya pula dengan program akademik yang menekankan unsur kemanusiaan dan nilai murni sejagat.

OBJEKTIF

Tujuan penting penawaran rancangan Ijazah Sarjana Muda Sastera [Kepujian] adalah seperti berikut:
  1. Untuk memberikan kesedaran bahawa sebarang ilmu yang dipelajari itu hanya merupakan asas kepada proses mencari ilmu yang berterusan seumur hidup.
  2. Untuk memberi asas akademik di dalam disiplin yang berkenaan sejajar dengan kandungan ijazah yang dianugerahkan sebagai asas pendidikan yang luas dan menyeluruh.
  3. Untuk membekalkan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran insaniah termasuk latihan pekerjaan yang sesuai dan untuk melahirkan graduan yang seimbang dan berkemampuan dalam kehidupan dan pekerjaan
CIRI-CIRI KURIKULUM
 
Berlatarbelakangkan kepada kepelbagaian bidang yang bernaung di bawah Pusat Pengajian, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan berusaha untuk mengeksploitasi keunikan ini untuk menghasilkan kurikulum Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) yang mempunyai ciri-ciri berikut:
  • Pencakupan ilmu yang menyeluruh (holistik)
  • Pembelajaran berbentuk kritis dan analitis
  • Penyaluran ilmu yang unggul dan bertaraf antarabangsa
  • Keseimbangan di antara penekanan terhadap sains dan teknologi dan adat-resam serta etika dan nilai ketimuran.
Falsafah dan objektif seperti di atas akan dicapai melalui pelaksanaan konsep pendidikan liberal antara disiplin dan pendidikan berbentuk pelbagai disiplin.

MAKLUMAT TAMBAHAN PUSAT PENGAJIAN

Hadiah-hadiah dan Anugerah Dekan

Sepanjang tempoh pengajian, pelajar berpeluang untuk dianugerahi beberapa anugerah di peringkat pusat pengajian dan juga Universiti berdasarkan kecemerlangan pengajian dan akademik.

Di peringkat pusat pengajian, pelajar yang mencapai PNG antara 3.50 dan ke atas akan dianugerahkan Sijil Dekan. Di samping itu, pelajar yang berjaya mengekalkan PNG 3.50 ke atas ketika berijazah berpeluang memenangi anugerah berikut:

  1. Hadiah Pingat Emas Dr. Ranjeet Bhagwant Singh untuk pelajar terbaik Sarjana Muda Sastera (Ilmu Kemanusiaan)
  2. Hadiah Pingat Emas Persatuan Sejarah Malaysia untuk pelajar terbaik dalam bidang Sejarah
  3. Hadiah Pingat Emas USM Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan untuk pelajar tahun akhir terbaik bagi Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Linguistik Bahasa Melayu.
  4.  Hadiah Pingat Emas USM oleh Yayasan Kelab Harvard Malaysia untuk pelajar terbaik Pengajian Bahasa Inggeris dan Kesusasteraan (ELLS)
  5. Hadiah Pingat Emas Dato’ Goh Hin San untuk pelajar tahun akhir bagi Ijazah Sarjana Muda Sastera Terjemahan Dengan Interpretasi (Kepujian)
  6. Hadiah Pingat Emas dihadiahkan oleh Prof Ooi Keat Gin sebagai penghargaan buat ibunya Puan Tan Ai Gek untuk pelajar tahun akhir terbaik keseluruhan pusat pengajian
  7. Hadiah Buku Dato’ Goh Hin San kepada pelajar tahun akhir terbaik bagi Ijazah Sarjana Muda Sastera Terjemahan Dengan Interpretasi (Kepujian)
  8. Hadiah Buku Water Watch Penang untuk pelajar tahun akhir terbaik bagi Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Geografi
  9. Hadiah Buku USM Dr. Noriah Mohamed untuk pelajar tahun akhir terbaik bagi Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Linguistik Bahasa Melayu
  10. Hadiah Buku USM Dato' Dr. Abu Talib Ahmad untuk pelajar tahun akhir terbaik bagi Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) (Sejarah)
  11. Hadiah Kepujian untuk pelajar tahun 1 dan 2
  12. Hadiah Wang Tunai Persatuan Penterjemah Malaysia untuk pelajar terbaik bagi Pengajian Terjemahan Dengan Interpretasi (BATI)

Di samping itu, pelajar-pelajar PPIK yang pernah mewakili Universiti dan Pusat Pengajian dalam program/aktiviti akademik, mahupun bukan akademik, akan diberikan Sijil Penghargaan.

PERSATUAN PELAJAR DI PUSAT PENGAJIAN ILMU KEMANUSIAAN (PPIK)

Setiap pelajar PPIK adalah ahli persatuan induk pusat pengajian, iaitu Persatuan Pelajar Ilmu Kemanusiaan.  Persatuan Pelajar Ilmu Kemanusiaan mempunyai seorang Yang DiPertua (YDP) Persatuan dan Naib YDP Persatuan. Persatuan-persatuan lain pula akan diterajui YDP masing-masing. Penasihat Persatuan Ilmu Kemanusiaan ialah Timbalan Dekan (Akademik). Di samping itu, pelajar-pelajar PPIK juga boleh menjadi ahli kelab dan persatuan lain di Universiti. Berikut adalah persatuan dan kelab yang terdapat di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan:  

  1. Persatuan Bahasa Melayu
  2. Persatuan Bahasa Inggeris
  3. Persatuan Sejarah
  4. Persatuan Geografi
  5. Persatuan Sastera
  6. Kelab Terjemahan dengan Interpretasi