SEJARAH / HISTORY
Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK), atau dalam Bahasa Inggeris dikenali sebagai School of Humanities, bermula dengan nama Pusat Pengajian Ilmu Kebudayaan dan Kemanusiaan. PPIK adalah antara pusat pengajian aliran sastera yang terawal ditubuhkan di USM iaitu dalam tahun 1970. Bersama-sama Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (School of Comparative Social Sciences) dan Pusat Perkhidmatan Pendidikan (Centre for Educational Services), PPIK berorientasikan kesusasteraan liberal dan diwujudkan untuk memberi keluasan dan keseimbangan kepada rancangan pengajian di USM. Program-program yang ditawarkan di pusat-pusat pengajian ini membuktikan bahawa rancangan akademik di USM tidaklah bertumpu semata-mata kepada sains dan teknologi sehingga mengabaikan aspek-aspek lain dalam kehidupan manusia. Falsafah di sebalik kemunculan pusat-pusat pengajian sastera seperti PPIK adalah untuk melengkapkan pelajar dengan pemahaman asas tetapi mendalam tentang ciri-ciri utama masyarakat, budaya dan pemikiran terutama di Asia Tenggara dan bagaimana unsur luar turut mempengaruhi atau meninggalkan kesan terhadap akar budaya asal negara ini.
Pada awal tahun 1972, Pusat Pengajian Ilmu Kebudayaan dan Kemanusiaan telah diubah nama menjadi Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK). Bidang pengajian asal di PPIK ialah Pengajian Bahasa Inggeris, Pengajian Bahasa Melayu, Geografi, Kesusasteraan, Sejarah, Pengajian Islam, Falsafah, Pengajian Tamadun Islam, Pengajian Drama dan Teater, Seni Halus, Muzik dan Media Massa dan Komunikasi. Merujuk kepada rancangan pengajian yang ditawarkan ini, ternyata PPIK bukan sahaja mencatat sejarah tersendiri sebagai salah satu pusat pengajian terawal yang ditubuhkan di Universiti Sains Malaysia malah juga merupakan pusat pengajian terbesar yang menawarkan bidang-bidang sastera. Semenjak penubuhannya pada 1970, PPIK telah membina satu reputasi sebagai peneraju Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan di negara ini.
PPIK komited terhadap usaha memastikan pencapaian terbaik akademik dan menghasilkan graduan yang bijak dan lengkap (well-rounded) pada setiap masa. Kursus-kursus di PPIK dibentuk bagi mencapai objektif-objektif tersebut. Kurikulumnya disusun bagi membolehkan graduan daripada pusat pengajian ini bukan sahaja memenuhi keperluan tenaga kerja dalam negara tetapi juga berupaya menghadapi cabaran hidup pada masa depan, terutamanya dalam era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta pensejagatan. Penilaian semula dan pengubahsuaian sentiasa dilakukan demi memastikan semua program relevan, kemaskini dan sesuai dengan kehendak masa dan keadaan. PPIK sendiri sentiasa bergerak ke hadapan, sesuai dengan keadaan yang sentiasa berubah.