• Events
  • News Archive
  • ICLLIC platform kemuka penyelesaian isu Bahasa, Sastera dan Budaya

ICLLIC platform kemuka penyelesaian isu Bahasa, Sastera dan Budaya

PULAU PINANG, 1 Jun – Penganjuran Persidangan Antarabangsa Lingusitik, Kesusasteraan dan Budaya (ICLLIC) 2010 dianggap tepat bagi mencari formula terbaik dalam menangani pebagai isu berkaitan bahasa, sastera dan kebudayaan yang kini terancam ekoran pembangunan.

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Prof. Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak berkata, inisiatif Pusat Pengajian Ilmu Kemnusiaan (PPIK) USM dalam mengelolakan ICLLIC selari dengan matlamat sebuah universiti untuk membantu mencari penyelesaian terhadap isu-isu semasa.

icllic

Katanya, dalam konteks pembangunan, isu berkaitan bahasa, sastera serta budaya seringkali dianggap tidak setanding dengan bidang sains dan teknologi, sekaligus mencetuskan pelbagai polemik dan menyentuh sensitiviti banyak pihak.

``Justeru, melalui ICLLIC, USM berharap dapat melihat dan mengemukakan langkah-langkah proaktif dalam menguruskan isu-isu pembangunan khasnya dalam bidang sains dan teknologi tanpa mengabaikan aspek kesusasteraan dan budaya,’’ jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan ICLLIC 2010 di sini hari ini. Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (TNC) INTI-UC Laureate International Universities, Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Bajunid (pembentang ucap utama), TNC Akademik dan Antarabangsa USM, Prof Ahmad Shukri Mustapa Kamal dan Dekan PPIK, Prof. Dato’ Abu Talib Ahmad.

Persidangan julung kali dianjurkan itu menghimpunkan kira-kira 200 peserta dari 20 negara termasuk antarabangsa dan menyajikan lebih 100 kertas kerja pelbagai topik yang berkisar kepada tema persidangan iaitu Millenium Realities and Innovative Practices in Asia.

Tambah Dzulkifli, isu bahasa, kesusteraan dan budaya juga adalah antara isu penting yang sering diabaikan ekoran ia tidak boleh diukur melalui mekanisme-mekanisme tertentu seperti Indeks Pencapaian Utama (KPI) dan sebagainya.

Namun jelas beliau, sebagai sebuah gedung ilmu, USM tidak akan membenarkan isu tersebut dipinggirkan hanya kerana ia tidak boleh diukur, sebaliknya lebih menekankan ia sebagai satu cabang ilmu yang harus diangkat semula dalam sistem pendidikan di negara kita.

``Kita perlu lebih ramai ilmuan dalam bidang-bidang seumpama ini kerana tanpanya, pembangunan tamadun ilmu menjadi tempang dan tidak lengkap, sekaligus menyebabkan lenyapnya sesuatu budaya tempatan,’’ jelas beliau.

Dalam sidang media yang sama, Dzulkifli turut mengumumkan status terkini pengambilan pelajar bagi program Ijazah Sarjana Muda USM bagi sesi kemasukan 2010/2011 untuk pemohon lepasan Matrikulasi, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan setaraf dengannya.

Beliau berkata, sehingga kini USM telah menawarkan tempat kepada 3,694 calon daripada 26,000 yang membuat permohonan untuk melanjutkan pengajian di USM.

``Daripada jumlah yang ditawarkan, 2,690 pemohon yang berjaya telah membuat pengesahan menerima tawaran sehingga tempoh pengesahan ditutup lewat malam semalam,’’ katanya.

Tambah beliau, USM masih mempunyai 600 tempat kosong dan ia masih dibuka untuk permohonan rayuan bertulis bagi mereka yang gagal dalam permohonan terdahulu. Tarikh tutup rayuan adalah pada 21 Jun 2010.

``Bagaimanapun, rayuan hanya dibuka kepada mereka yang gagal mendapat tempat setelah membuat permohonan kali pertama dan mengikuti Ujian Penilaian Penetapan Khas (MUnsyl). USM tidak akan menerima sebarang permohonan baru,’’ katanya sambil menyifatkan proses pengambilan pada tahun ini berjalan lancar.