Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan | School of Humanities

PERUTUSAN DEKAN / DEAN’S MESSAGE

 Picture Dean

Manusia adalah makhluk yang berbicara dan menggunakan akal dalam manifestasi fizikal mereka. Perkembangan manusia daripada dahulu sehingga sekarang, daripada generasi ke generasi di pelbagai rantau dan wilayah telah menghasilkan pengalaman dan estetika manusiawi. Justeru, pengkajian ke atas ilmu kemanusiaan adalah satu bidang yang sangat bertunjangkan manusia dengan mengkaji bahasa, interpretasi dan terjemahan, keindahan bahasa dan makna, adab, budaya, istiadat, ketamadunan, falsafah, kepercayaan dan kredo, asal-usul, salasilah, peristiwa, kemajuan dan perbandaran. Di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM, ilmu kemanusiaan adalah merupakan ilmu akademik yang mengkaji berkaitan manusiawi ini dalam pengkhususan pengajian yang lebih tertentu seperti pengajian Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Terjemahan dan Interpretasi, Kesusasteraan, Falsafah dan Tamadun, Pengajian Islam, Sejarah dan Geografi.

Sejak penubuhan Universiti Sains Malaysia dan terasasnya Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan setahun selepas itu, bidang ilmu kemanusiaan memainkan peranan utama untuk melengkapkan pelajar dengan pemahaman asas tetapi mendalam tentang ciri-ciri utama manusiawi iaitu bahasa, budaya dan pemikiran terutama yang tinggal di Asia Tenggara. Dalam ekosistem ini, ilmu kemanusiaan menjadi pelengkap di samping seseorang mempelajari ilmu-ilmu sains dan teknologi, mereka juga turut dibekalkan dengan ilmu-ilmu yang berteraskan kebijaksanaan manusiawi setempat. Paduan antara ilmu-ilmu ini dapat membangkitkan kesedaran moral, etika dan rohani yang mendalam, sehingga dapat membentuk individu manusiawi yang kuat daripada segi roh dan jasad.

Berasaskan falsafah ini, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan digagaskan untuk mengkaji ilmu kemanusiaan yang selari dengan pemahaman manusiawi berkaitan diri dan pembentukan sosio-budaya manusia yang utuh daripada dahulu sehingga sekarang. Cakupan ilmu manusiawi semakin berkembang bukan sahaja pada sejarah jatuh-bangun tamadun manusia yang merentasi benua dan bangsa, malah diprojek ke depan bagi faedah sarwajagat manusia madani. Hasilnya, pengkajian disiplin ilmu kemanusiaan kini lebih bersifat inter dan trans-disiplin yang menggabung-jalin semua aspek sama ada sains, teknologi, seni, sosial dan sebagainya. Menerusi kajian sebegini, hubungkait ilmu kemanusiaan menjadi unik ke arah pembinaan masyarakat yang berintegriti, tamadun tinggi dan berhemah mulia. Hal ini kerana zaman berubah dengan kemajuan sains dan teknologi, yang turut menyebabkan sebahagian bahasa, perspektif, kemodenan, moral, etika dan kepercayaan turut berubah. Justeru, bidang ilmu kemanusiaan perlu sentiasa segar dan dibugarkan oleh para pengkaji ilmu sama ada pelajar di peringkat sarjana muda, sarjana atau doktor falsafah supaya ia terus meneruskan memberi kebaikan dan manfaat kepada manusiawi.